sUduT pAnDaNg

sUduT pAnDaNg

Tuesday, November 15, 2011

MUSIM HUJAN

Bumi disimbah air.Dari tadi hujan tak henti-henti.Musim monsun sudah bermula.Setiap petang,bumi disimbah dengan air.Sesetengah kawasan dengan sistem perparitan buruk di kota metropolitan pasti banjir.Tidak boleh menyalahkan sistem perparitan sahaja bukan?Sikap masyarakat yang tidak tahu menjaga kebersihan juga antara punca.Sampah yang menyumbat laluan air memburukkan keadaan bila hujan turun berjam-jam lamanya.

Aku masih disini. Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Muka jam dijenguk. Maghrib hampir tiba.Telinga yang sejak tadi dijamu Boyce Avenue terasa malu pada waktu yang menjengah itu. Segera aku mematikan lagu dari MP3 dan mencabut earphone.Aku mencari frekuensi IKIM.Fm.Alunan ayat suci Al-quran berkumandang. Tidak lama. Diganti azan.
“Allah…azan dah pun” Aku sedikit mengeluh. Trafik masih teruk. Aku melihat kiri kanan dan hadapan.Nun,sedikit sahaja di hadapan di bahagian kiri stesen minyak Shell tersergam.Aku menyimpan niat mahu bersolat maghrib disitu dan mengambil kesempatan mengisi minyak.Sebentar aku membelok masuk ke dalam kawasan stesen minyak.

Tangan kutadah.Berdoa seringkas mungkin.Sombongnya aku sebagai hamba.Aku segera melipat telekung dan menyimpannya di dalam beg kertas.Minyak telah kuisi tadi.Aku duduk sebentar melepas lelah sebelum masuk ke dalam kedai mesra.Tekak kering benar rasanya.
Ketika aku mahu membelek barang,aku terlihat seorang pakcik yang basah lencun bajunya sedang menyelongkar tong sampah.Aku hanya memerhati.Tanpa sebarang penilaian.Seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan 5 tahun membuntutinya. Bajunya basah lencun juga.
.Dia menggigil kesejukan.
Mengetap gigi.
“Kasihan.” Terpacul perlahan dari mulut.
Aku terus memerhati. Aku tak sendiri. Beberapa mata turut memerhati. Sama sepertiku,tanpa prihatin mahu bertanya apa permasalahannya.
Rupanya pakcik itu mahu membeli petrol. Barangkali motornya kehabisan minyak.
Hujan masih lagi lebat.Tidak bersimpati pada anak kecil yang kuyup dan kesejukan. Lagi tidak bersimpati kalau awan berhenti melimpahkan air,kita sah-sah mati kekeringan. Basah Cuma basah air,bukan basah api. Itu kata emak setiap kali aku bersungut bila kehujanan.


“Basah pun,basah air ninah..bukan basah api ” Emak berkata. Tangannya menghulur tuala kering.
“Hari-hari hujan..” Aku merungut
“Syukurlah hujan nak oi…”
“mak bila abah nak beli kereta?” Aku menyoal emak sambil mengelap rambut.
Emak memandangku. Mohon pengertian. Aku faham benar pandangan itu. Aku diam.
“Tiap petang mesti hujan. Baju orang basah. Buku-buku pun kalau lupa nak bungkus dalam plastik jadi basah.” Hujah balasku pada pandangan mohon pengertian itu.
“Nanti la sayang…” Abah muncul entah dari mana. Baju lencunnya sudah berganti. Diusap kepalaku..

Aku bersekolah menengah yang letaknya sejauh 20KM dari tanah rancanganku. Sulit untuk aku beri gambaran mudah bagi orang yang tak pernah kenal rasa susah. Waktu aku sekolah,cuma aku anak gadis yang dalam tingkatan 5. Cuma aku juga yang masih tersisa semangat untuk belajar.Sekolahku jauh sungguh dari rumah. Aku perlu pula mengikuti kelas tambahan yang diadakan untuk pelajar tingkatan 5 dan kerana Cuma aku satu-satunya yang tingkatan 5,maka bas koperasi felda menolak mahu menjemputku pulang pada jam 5. Oh,angka 5 lagi.

Atas sebab itu aku terpaksa meredah hujan hampir tiap petang untuk pulang dengan motosikal.Selalu saja aku lupa untuk memasukkan abah dalam cerita. Gaya macam aku sendiri menunggang motosikal itu. Gaya seperti aku seorang yang kuyup dan menggigil kesejukan.Abah lah yang saban petang menjemputku dengan motosikal. Selalu itu juga hujan. Kadang aku rasa mahu mengalah tidak mahu lagi belajar lagi hanya kerana ditimpa hujan. Hanya itu. Lemah sungguh. Padahal sudah 4 tahun aku bertahan berhimpit dalam bas koperasi demi mahu sekolah Tapi kukuatkan hati. Abah sendiri tak pernah merungut walau saban pagi di ladang,petang terpaksa pula berhujan menjemputku.
Aku ini anak perempuan satu-satunya dalam keluarga ini. Along sudah tidak sekolah. Dia membantu abah di ladang. Dia sebetulnya sudah muak dengan miskin.Ya,miskin. Miskin itu bila hidup sekadar cukup. Oh,kalau cukup bagus juga. Makan pun berceking bak kata emak. Aku makan nasi dengan minyak kadang-kadang garam kadang-kadang kicap. Sebab itu darjah kepandaianku kurang barangkali. Makan aku tak cukup gizi.Along,Angah dua orang yang menyerah pada miskin. Pernah aku mahu mengalah tapi sungguh-sungguh dihalang abah.Biar susah payah dia mahu aku sekolah juga dan demi itu,dia tambah kerja malam menjadi pengawal keselamatan. Aku dan emak pula meraut lidi kelapa sawit untuk dibuat penyapu.Buat jualan.Mengutip pula pucuk paku buat makan sampai muak.

Pagi-pagi sesudah subuh emak bangun,aku juga. Masing-masing bersiap.Aku untuk ke sekolah dan menyiapkan adik lagi 3 orang untuk sekolah.Lagi 2 orang mengekor abah di ladang yang umpama taman permainan masing-masing . Emak pula bersiap tunggu lori datang. Dia kerja kahwin bunga sawit dekat estet.Itu rutin hari-hari yang menjelakkan namun harus kuhadap. Menunggu sawit mahu besar cukup untuk buat kami anak-anak ladang penat dengan hidup. Makan pakai compang camping.

Aku lencun lagi.
“Benci la hari-hari macam ni” Aku merungut untuk kesekian kalinya.
“Dengan sapa kau nak merungut?” Emak Tanya hilang sabar. Aku diam tak berani menjawab.
“Kau nak merungut dengan tuhan?” Soalnya lagi.Diam lagi
“Syukur la nak,kau tak merasa hidup dalam estet. Kalau hujan pagi-pagi,makan bubur kau hari-hari” Emak bersuara kuat.
“Itu zaman kita” Abah menyampuk,sering abah membela aku dalam banyak hal
“Memang bukan zaman dia. Tapi kalau tak disebut,dikisah pada fikir dia hidup dia saja macam neraka” Emak naik angin betul sebab aku.Ini bukan sekali. Berkali-kali sebab aku yang suka merungut. Tiap kali makan aku merungut. Tiap kali aku raut lidi aku merungut.
“Apa sekolah ajar kau jadi orang macam ni?”Soal emak
“Kalau nak ajar kau jadi orang tak reti syukur,membentak pada ketetapan alam,pada ujian hidup baik aku tak susah-susah hantar kau sekolah.Sekolah kau tak ajar pelajaran agama?Tak diajar kau bersyukur?” Emak bersyarah. Aku menangis.
“Kalau aku nak bersungut,kalau aku nak membentak dah lama aku tak hidup dengan abah kau. Pernah kau dengar aku minta yang tidak-tidak pada abah kau?” Mata emak berkaca-kaca. Aku sedih tidak terkata. Bukan niat aku mahu bersungut tak semena,aku cuma anak muda yang tak larat,jemu menghadap susah.
“Sudah lah Lijah” Pujuk abah
“Pergi mandi ninah.” Suruh abah,cuba meredakan keadaan
Dalam saki baki tangis aku pergi pada emak.
“Mak..orang minta maaf…orang janji tak bersungut-sungut dah” Teresak aku berkata
Emak pandang aku dengan mata berkaca.Dia diam membantu.
“Mak,orang minta maaf..”
“Jangan kau tunjuk lagi perangai macam ni. Kau aku hantar sekolah supaya jadi orang bijak. Bukan bijak kira mengira. Bijak dalam berfikir,tentu mana baik mana buruk mana patut mana tidak” Kata emak. Aku cembeng tiba-tiba
“Sini…” Emak tarik aku dalam pelukan. Tubuh basahku didakap emak.
“Kau satu-satu harapan. Jadi contoh adik-adik,bukan bergaduh dengan emak abah. Kau satu-satu harapan dari kau kecil sayang…kau macam bumi lepas hujan…nampak luar sana” Tunjuk emak ke luar tingkap.Pandanganku mengarah pada batas sayur yang emak tanam.Hujan betul-betul sudah berhenti.
“Biar kau jadi yang menyejukkan…yang menyegarkan,yang beri harapan.” Emak kucup ubun-ubunku.Terdengar olehku dia melafaz Al-Ikhlas.Aku pandang emak. Aku pandang abah.
Abah dan emak yang sebenarnya macam hujan.Hujan yang turun melimpahkan kasihnya pada aku,pada anak-anaknya.Tapi aku balas dengan sungut.Itu baru marah ibu belum murka tuhan pada orang-orang tak tahu syukur bukan? Makin lama hidup kita makin mudah tapi makin lama makin kita tak tahu syukur sampai satu tahap mudah-mudah bersungut pada ketetapan tuhan.

0 comments:

Post a Comment