sUduT pAnDaNg

sUduT pAnDaNg

Sunday, November 6, 2011

Angah,Ibu dan Rendang Kerang

“ha,duduk tengah-tengah”
“kau ni,centre la”
“kau nak centre sangat,kau la duduk tengah”
“benda senang pun tak boleh buat ke?”
“senyum!”

Aku merenung foto yang berbingkai.Senyum segaris.Along,aku,adik.
Aku Faiez,aku anak no dua.Aku Angah.
Anak tengah,No dua atau Angah yang selalu pelik.Kata orang tua-tua.
Pandai orang dulu-dulu kan…Gaya macam menuntut psikologi dari Gardner. Konon. Padahal sukahati melabel. Melabel Angah sebagai pelik,degil dan tidak dipedulikan. Aku hanya bersetuju pada bahagian itu,tidak dipedulikan. Aku selalu tidak diepdulikan. Kadang aku rasa aku halimunan dalam keluarga dengan 5 orang anak lelaki ini. Halimunan .Faham tak halimunan? Sudah lah kalau kalian tak faham! Kalian memang takkan faham sebab kata kalian kan Angah pelik dan degil.

Aku pandang Along dengan wajah keruh
“celaka kau!” Aku menyumpah.Dalam hati. Jangan buat pasal menyumpah depan-depan,dengar dek ibu,aku yang makan cili macam masa kecil-kecil dulu. Aku taubat nasuha tak mahu menyumpah dan mencarut sebab puas makan cili padi dari ibu sebab membabikan Along yang selamba mengambil barang permainanku.
Ya,selalu saja aku yang kena
Tapi bila aku dah tua-tua begini aku sedar betul itu salah aku sebab membabi,babi sesuka hati. Babi tu kan najis. Sebab itu ibu samak mulut aku pakai lada api. Maun kau . Taubat aku tak mahu sebut-sebut babi lagi.
Apa?
Aku sebut dalam tulisan sahaja babi. Bukan sebut pakai mulut.
“Ibu, angah pun nak pergi” Aku beranikan diri meminta kebenaran selepas Along mendapat kebenaran untuk ke Kuala Lumpur menonton bola dengan budak asramanya.Tahun itu Negeri Sembilan bertemu Perak di Final Piala Malaysia
“Kau tak payah nak mengada ngah. Kau nak pergi dengan sapa? Dengan Sitap dengan Kumai? Tak payah la. Aku tak percaya budak-budak tu ”
“Lah..Along pergi ngan kawan dia boleh je”
“Kau tengok kawan kau macam mana,kawan Along macam mana” Kata ibu
“Ibu bukan kenal pun kawan Along. Kawan Angah mak kenal..Ibu bagi la Angah pergi ” Beria aku meminta sebab aku jarang benar meminta. Aku nak juga pergi sebab Along boleh pergi.
“Sebab ibu kenal la si Sitap ngan Kumai tu yang mak tak bagi. Dah-dah la ngah..kau duduk je la kat rumah”
Teruk sangat ke Sitap dengan Kumai. Baik sangat ke kawan-kawan Along. Ibu tak tahu ke budak lelaki yang duduk asrama lagi macam syaitan perangainya. Termasuk Along tu. Aku barua nanti baru tahu!
Itu terakhir aku meminta

“Long,kau smoking eh?” Aku menyoal Along sambil berbisik. Aku terjumpa surat kompaun Along semasa mengemas bilik
“Bila masa pulak” Suara Along tinggi
“Ni ha,aku jumpa ni” Aku berkata dalam nada biasa sambil menunjukkan surat kompaun kerana merokok.
Along merampas surat kompaun dari tangan aku.Dia membacanya sekilas
“Aritu je pon.” Pendek dia membalas dengan rengusan
“Kau jangan nak bising pula kat mak” Katanya
“Long,best ke isap rokok?”
Along pandang aku.
Sekilas.
Senyum.
“Best la.Masyuk”
“Long,kau isap rokok apa?”
“Dunhill..kadang-kadang Winston..kadang-kadang Gudang Garam je..kadang-kadang rokok pucuk”
“Hebat kau kan long..aritu je pon kau boleh isap berjenis-jenis rokok” Aku memerli Along.
Itu terakhir aku menegur

Aku Angah.Sering aku jadi orang yang memendam rasa.Tak pernah aku minta itu ini.Tak pernah aku mengadu itu ini dan sebab itu aku begini,kini.
“Angah,kau boleh tak bagi aku pinjam duit dulu.” Suara Along memujuk
Sebab aku tak pernah meminta,maka mudah-mudah orang meminta.Pada aku.
Along berkahwin pada usia muda dan aku dipertanggungjawabkan untuk membantu keluarga dan juga dirinya dan keluarganya.Ya,aku seolah-olah anak sulung keluarga Alias.Terima kasih Along sebab kau gatal sangat nak beristeri maka aku perlu menjadi anak sulung keluarga ini.

“Angah,kau tolong cari kelapa Ngah,Along kau balik esok boleh ibu masak gulai Siput.Along suka”
Aku tak pernah suka siput.Kalau ibu masak siput ,aku cuma makan kuah gulai dengan telur goreng.Tapi tak sampai hati pula aku buka mulut minta ibu masak lauk lain.
“Ibu kalau kita tak masak siput boleh tak?” Tiba-tiba mulutku lancang bertanya
“kenapa pulak?Ibu dah beli. Along kau kan suka siput. Abah pun suka.”
Tapi Iez tak suka. Iez suka makan rendang kerang. Dah lama ibu tak masak.
“Pergi la cepat cari kelapa. Karang hujan”
Menyesal aku balik awal. Kena jadi pencari kelapa untuk masak gulai kesukaan kau Along.

Satu kampung aku berlegar mencari kelapa.Sekarang dekat kampong pun payah nak cari kelapa.Orang Felda berlumba perbesar rumah. Dari laman sampai belakang naik batu buat rumah.Mana ada tempat nak tanam kelapa.Hai Kelapa,macam mana nak disahut seruan satu rumah 3 batang pokok kelapa kalau tanah pun tiada?
Apa?
Santan kotak?
Jangan nak bagi idea bijak.Telinga aku yang tersumbat kena bebel kalau bawa balik santan kotak.

“Assalamualaikum,Cik Timah…O,Cik Timah” Aku memberi salam di hadapan rumah makcik Fatimah yang rumahnya sebelah sekolah rendah.
Diam
Aku bagi salam lagi
Diam
Aku tawaf keliling rumah.Tak cukup tawaf,rupanya makcik timah ada di belakang rumah sedang menggali ubi keledek.
“Assalamualaikum acik”Aku memberi salam
“Waalaikumussalam”Jawab makcik Fatimah kuat.
Erm,saya punya pendengaran baik lagi makcik.
“Ha,kau siapa?Apa nak eh?” Soal makcik Fatimah
“ Ese Faiez cik,anak Lieh…Nak tanyo kelapo ha..” Aku berdialek daerah. Kalau dah masuk jajahan Negeri Sembilan memang dialek Tanah jajahan yang keluar.
“Oh,anak lieh yang jadi cikgu kek Johor tu yo?”Soal makcik Fatimah
Eh,tahu pula makcik ni
“Aah,cikgu..Cikgu sekolah rondah yo pon cik” Aku merendah diri. Bukan dibuat-buat. Sungguh aku rendah diri cuma guru sekolah rendah. Kalau nak banding dengan Along yang kerja Jurutera tapi gaji tak pernah cukup tu.
Sempat lagi aku nak mengutuk Along.
“Cikgu la elok.Omak kau kalau datang kenduri sinia gomar deh cito pasal kau…”
Aku terkedu . Ibu cerita fasal aku?
“Kau rajin balik tengok omak kau kan…Kau la yang berkojar bilo dio sakit..elok tu faiez…omak ni dah tuo-tuo takdo lain diharap eh…anak jenguk da cukup ” Tutur makcik Fatimah
“Sebab se cikgu cik…cuti sonang…” Aku berkata.
“ Kau tak kahwin laie kan?” Soal Makcik Fatimah
Aku angguk
“ Kau nak tunggu adik kau abis universiti ko?” Soal makcik Fatimah
Aku diam.Lambat mengangguk
“Risau omak kau,kau tak kahwin,kahwin…bersalah dio raso…koba eh kek acik”

Aku pandang wajah ibu yang sedang sibuk memerah kelapa untuk masak gulai buat Along
“ibu,nak buat rendang kerang macam mana?” Soal aku pada ibu
“Nak belajar ke?Angah nak masak kat rumah Johor ke?” Soal Ibu
Angguk
“Erm..ibu sebenarnya dah ingat-ingat lupa resepinya” Kata ibu
Dah la ibu,tak payah beralasan.Angah dah muak dengan alasan Ibu. Tak pernah kan apa Angah nak ibu tunaikan.Dada rasa sebu.Kata-kata kutelan dalam hati.Bertahun-tahun aku memendam rasa.Mahu saja aku meletus. Mata rasa panas.
“Ibu dah lama tak buat rendang kerang. Dulu Angah suka sangat makan rendang kerang. Tapi Angah dah lama tak minta ibu buat. Ibu ingat Angah dah tak suka. Ibu ingat takde satu pun masakan ibu masakan kesukaan Angah” Ibu berkata dengan nada sebak
Aku tergamam.Ya Allah!
Mata panas. Mata mula berair.
Ibu…
“Ibu cari balik ye,resipinya.Nanti ibu suruh Abah beli kerang!” Ibu berkata dengan semangat.
Aku seolah-olah mahu pitam. Bertahun aku memendam rasa kecil hati pada ibu dan cemburu pada Along sedang aku tak sedar ibu turut terasa dengan aku yang tak pernah meminta. Seorang ibu takkan pernah merasa terbeban dengan permintaan anak-anaknya. Aku tak diberi kerana aku berhenti meminta.

3 comments:

Nurulain said...

T.T

ChIk NyNaH said...

ini fiksyen tahu.hehe.

Abd Rahim said...

touching

Post a Comment