sUduT pAnDaNg

sUduT pAnDaNg

Saturday, September 15, 2012

Wacana: Pembuangan Bayi menuntut Penyelesaian Holistik



 Sekilas Pandang
Pertama kali kita dipaparkan dengan gambar mayat bayi yang digonggong anjing, dihurung semut. Apakah yang terlintas di benak kita? Marah? Geram? Kesal? Kasihan? Dan apa pula pertanyaan-pertanyaan yang kita lontarkan ke dalam diri kita tentang mengapa wujud manusia - manusia sekejam ini yang sanggup membunuh jiwa yang tidak berdosa? Manusia-manusia ini baru anak remaja. Pernah kita fikir jika anak-anak remaja ini anak-anak kita,jiran-jiran kita? Pernah kita persoal apa yang telah kita sumbang dari kapasiti kita untuk mencegah perkara mungkar ini?
Kes pembuangan bayi bukan lagi kes terpencil. Kes ini merupakan penyakit sosial yang semakin berleluasa. Setiap hari di dada-dada akhbar, di laman sesawang gambar-gambar,berita-berita pembuangan bayi dilaporkan, diperincikan dengan harapan isu ini dipandang serius dan menimbulkan perbincangan-perbincangan yang membawa kepada solusi dan bukannya polemik.
Penyakit sosial ini kian mencalar imej negara sebagai sebuah negara islam namun gagal membanteras isu yang sangat serius dan melanggar hak asasi seorang manusia yang baru mahu bernyawa.Sedar tidak sedar isu ini menjadi cermin pada sebuah institusi pemerintahan,undang-undang,agama, pendidikan  dan keluarga  yang rapuh nilai agama dan kemanusiaan kerana sebuah kesatuan yang rapuh pegangan agama dan nilai kemanusiaanya tidak akan memandang mudah pada nyawa seorang manusia.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 396 kes pembuangan bayi dicatatkan sepanjang tahun 2005 hingga 2010. Pada 2005, sejumlah 67 kes pembuangan bayi dilaporkan dan jumlah ini meningkat kepada 83 kes pada tahun 2006, dan kemudiannya menurun kepada 65 kes pada 2007. Walau bagaimanapun, jumlah kes meningkat kepada 102 pada tahun 2008, menurun semula pada 2009 kepada 79 kes dan bertambah menjadi 91 kes pada 2010.
Trend peningkatan ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan pelbagai pihak apabila pada bulan Januari 2011 sahaja,  mencatatkan sejumlah 34 kes pembuangan bayi. Sudah tentu angka ini amat menakutkan dan kita tidak dapat menjangkkan apakah  angka yang akan tercatat sepanjang tahun 2012 ini nanti. Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007,  kajian yang dilakukan di sekitar Lembah Klang menunjukkan seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Laporan yang dikeluarkan cukup mengejutkan dan menunjukkan nyawa seorang bayi tidak mempunyai nilai lagi.
Membuang bayi itu sahaja sudah menunjukkan betapa jauhnya kemanusian dari dalam diri, inikan pula melihat cara mereka membuang bayi seperti yang dipaparkan dalam akhbar amat menakutkan pada sesiapa sahaja yang melihatnya sehingga kita tidak percaya ada “manusia” yang berhati binatang yang sanggup membunuh anak kecil yang tidak berdaya. Langkah tidak berperikemanusian ini tambah mengerikan apabila bayi-bayi ini dibuang di sungai, tong sampah, lubang najis, longkang dan sebagainya sehingga reput dimakan ulat, serangga malah menjadi makanan anjing. Alangkah kejinya tindakan yang dilakukan oleh manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tahun 2004 hingga 2009, sejumlah 20.4 peratus sasaran utama tempat pembuangan bayi ialah di kawasan rumah yang membabitkan sejumlah 99 bayi, diikuti tempat pembuangan sampah yang membabitkan sejumlah 77 bayi atau 15.8 peratus dan bakinya ialah di semak, masjid, sungai, tepi jalan dan hospital.
Kes buang anak yang diketahui masyarakat hanyalah berdasarkan laporan media, namun hakikatnya keadaan hari ini adalah lebih teruk apabila kadar purata tersebut ditambah dengan kelahiran anak tidak sah taraf yang tidak dilaporkan. Bilangan anak tidak sah taraf yang dilaporkan oleh JPN antara tahun 2006 hingga 2010 adalah sebanyak 236,647 kes, ini bererti setiap hari ada 160 kes anak tidak sah taraf dilahirkan di Malaysia. Ini kes yang didaftarkan, tidak termasuk lagi dengan kes yang tidak didaftarkan, juga sebahagian kes di mana bayi yang tidak diingini dibuang. Statistik yang dikeluarkan oelh PDRM ini memperlihatkan masalah gejala sosial yang dahsyat berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Masalah ini jika tidak ditangani akan menyebabkan masalah ini menjadi lebih parah dan tidak boleh diatasi lagi.
Isu ini menuntut satu solusi, namun satu solusi memerlukan penelitian dan analisis punca kepada permasalahan secara tuntas. Maka ada beberapa soalan yang perlu disoal dan dijawab bagi menilai mengapa pembuangan bayi ini boleh berlaku.

Menganalisis punca
Persoalannya disini, mengapa gegala tidak bermoral ini boleh berlaku dan mengapa jenayah ini dilakukan oleh remaja islam? Bagaimana dengan tidak berperikemanusiaanya, seorang bayi boleh dibuang begitu sahaja? Bagi menjawab persoalan ini kita perlu melihat apakah status bayi yang dibuang ini. Mengikut statistik yang dilakukan, bayi-bayi ini merupakan bayi yang lahir hasil perhubungan luar nikah. Hal ini bermakna bayi yang dibuang itu berstatus anak haram. Apabila menyebut anak haram tentu sekali hal ini memberikan malu pada si pelaku untuk memiliki dan menjaga bayi itu sebagaimana ibu-ibu yang melahirkan bayi atas pernikahan yang sah. Malu dengan tanggapan sekeliling, takut tidak diterima keluarga dan juga masyarakat.
Masalahnya disini mengapa perbuatan pertama yang membawa kepada lahirnya bayi yang dibuang seperti sampah ini tidak pula menimbulkan rasa malu dan berdosa? Perbuatan pertama itu ialah hubungan seks luar nikah atau zina. Kebanyakan perbincangan ilmiah tidak menggunakan perkataan zina dalam membincangkan isu ini sedangkan sebenarnya penggunaan perkataan hubungan luar nikah itu menunjukkan “ringannya” perbuatan itu sedangkan perkataan zina menunjukkan “beratnya” perbuatan itu kerana apabila menyebut zina ia akan diikuti dengan amaran,peringatan dalam Al-quran tentang dosa berzina dan bahayanya zina. Maka dalam perbincangan ini kita akan menggunakan perkataan zina untuk merujuk pada punca masalah pembuangan bayi.
Setelah kita mengetahui punca kepada pembuangan bayi ialah perbuatan zina, maka kita perlu melihat pula apakah faktor-faktor yang membawa kepada zina ini kerana apabila kita cuba mencari solusi bagi permasalahan, kita perlu melihat dari peringkat akarnya agar penyelesaian yang akan kita ambil dapat dibuat secara holistik dan menyerang segenap aspek yang menjadi punca kepada penyakit sosial ini.
Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak yang diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah. Ada yang menyalahkan pihak sekolah yang gagal mengawal disiplin pelajarnya dan ada yang mengkritik kementerian pendidikan yang gagal memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja berkenaan. Ada yang menyalahkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ramai yang mempertikaikan usaha ulama yang terlalu sedikit bagi membendung masalah ini. Ada yang mengatakan gejala pembuangan  bayi adalah kesan akibat pembangunan pasca kemodenan. Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja. Ada yang mengatakan bahawa media adalah punca bagi segala-galanya dan kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian yang semakin merebak ini.

Walaubagaimanapun dalam mencari solusi, tuding menuding tidak seharusnya berlaku. Menghentam pihak-pihak tertentu juga tidak sepatutnya berlaku kerana setiap yang berlaku itu bertitik tolak pada sistem kawalan kendiri individu dan penghayatan cara hidup oleh diri dan masyarakat. Apabila diri sendiri tidak terkawal dan persekitaran yang ada tidak mencerminkan satu nilai yang baik untuk diteladani dan dijadikan panduan, maka semua pihak sebenarnya bertanggungjawab dalam memberi saham kepada penyakit sosial ini dan menjadi tanggungjawab setiap pihak mencari dan melaksanakan langkah mencegah dan merawat penyakit ini dengan membuat perubahan dalam tingkah laku. Berhenti dari bersifat apati dan menyerahkan permasalahan ini hanya kepada pihak berwajib dan orang-orang agama.
Pertama sekali, kita perlu melihat siapakah golongan pelaku ini dan apakah gaya hidup yang diamalkan mereka sehingga membawa kepada penyakit sosial ini. Pelbagai faktor yang memungkinkan dan mendorong kepada berleluasanya perbuatan zina ini. Secara puratanya pelaku kepada gegala ini ialah remaja yang mempunyai banyak masa terluang dan ruang-ruang ini diisi dengan hiburan yang dapat diperoleh dari media. Dalam dunia sekarang yang disajikan dengan budaya hedonism, remaja merupakan golongan yang paling mudah terpengaruh. Budaya hedonism inilah budaya yang telah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai satu penyakit yang akan melanda umat akhir zaman iaitu penyakit cintakan keduniaan.
Pendedahan budaya hiburan melampau yang ditonjolkan oleh media, kehidupan artis liar yang dipertontonkan, majalah-majalah yang menjolok mata, filem-filem yang kian longgar tapisannya. Di dalam Al-quran Allah telah menyatakan jangan menghampiri zina, maka apa sahaja yang membawa kepada zina seperti perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan,tidak menjaga aurat, berdua-duaan, bercumbu dan sebagainya adalah dilarang. Namun perkara yang paradoks berlaku di media. Sepatutnya media menegaskan perkara ini di dalam filem, drama dan komersial.
Namun perkara sebaliknya berlaku. Budaya hubungan bebas ini dipertonjolkan dengan hebatnya dan mendapat promosi besar-besaran. Apa yang dipaparkan oleh media memberikan gambaran yang bertentangan dengan ajaran islam. Hal ini remaja yang tidak boleh membezakan halal dan haram menjadikan perkara ini ikutan dan mengamalkannya. Maka adalah tidak menghairankan jika kita mendapati di sekolah rendah lagi sudah ada murid yang bercinta, berpegangan tangan dan sebagainya. Budaya menghampiri kepada zina yang akhirnya nanti akan membawa kepada zina,melahirkan bayi haram dan pembuangan bayi.
Perhubungan antara lelaki dan wanita di luar ikatan perkahwinan dengan tidak menuruti adab-adab Islam adalah antara faktor penting yang mendorong kepada perbuatan seks luar nikah. Budaya berdua-duaan seperti keluar menonton wayang bersama, berdua-duaan di taman, keluar makan bersama yang bermula sejak di bangku sekolah lagi harus dipantau oleh semua pihak dengan serius. Ibu bapa, guru-guru dan setiap ahli masyarakat harus memainkan peranan dengan mendidik dan menasihati anak muda yang terbabit sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Tidak dilupakan juga kemudahan dan kecanggihan teknologi komunikasi hari ini yang memungkinkan capaian yang lebih mudah terhadap internet. Kemudahan ini juga hadir dengan mudahnya akses kepada bahan-bahan yang mengghairahkan seperti filem-filem dan gambar-gambar lucah yang semakin berleluasa di internet. Pendedahan gambar-gambar yang terlalu peribadi terutamanya wanita dalam laman sosial seperti Facebook, Friendster dan sebagainya amat membimbangkan kerana mendatangkan ghairah kepada teman-teman lelaki yang menontonnya. Teknologi yang canggih tanpa tapisan dan pengawalan yang ketat oleh pihak berkuasa dan juga ibu bapa di rumah akan mendorong dan merangsang lagi minat anak muda ke arah melakukan perbuatan zina yang akhirnya akan membawa kepada perbuatan membuang dan membunuh bayi.
Namun jika kita menilai isu ini dari sudut pandangan muslim dan bukannya hanya berdasarkan prinsip moral, kita akan melihat bahawa isu ini merupakan isu ummah yang berpunca daripada gagalnya individu dan masyarakat menjadikan islam sebagai addin. Dalam dunia yang serba moden, agama dan kehidupan telah dipisahkan sehingga cara hidup islam tidak lagi dipraktikkan oleh masyarakat. Agama hanya dipusatkan pada ritual sehingga mengabaikan nilai yang sepatutnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Maka, agama dan kehidupan akhirnya menjadi dua perkara yang berbeza.
Penekanan terhadap kehidupan yang mengikut syariat tidak diterapkan dalam diri individu. Ibu bapa mengambil jalan menghantar anak untuk belajar pendidikan islam secara formal namun praktikalnya tidak diamalkan. Kegagalan ibu bapa untuk menerapkan nilai agama semenjak dari kecil inilah menjadi antara punca apabila remaja membesar, mereka gagal untuk meletakkan satu sikap menolak perkara yang haram di sisi agama. Media juga gagal mendidik masyarakat untuk mengikut syariat sehingga apa yang dilakukan media ialah mencampurkan antara yang hak yang batil. Pada hari Jumaat, rancangan keilmuan dipaparkan dan baki hari yang lain disajikan dengan hiburan tanpa batasan.
Apabila agama dipandang remeh, maka hukum islam dan cara hidup islam turut dipandang remeh. Pelaksanaan dasar-dasar kerajaan bertentangan pula dengan status negara sebagai sebuah negara islam. Program-program kerajaan untuk masyarakat “diserikan” dengan konsert sehingga ia sebenarnya memberikan gambaran dan budaya yang bertentangan dengan islam. Bagaimanakah satu-satu isu ummah mahu diselesaikan jika semua pihak dan persekitaran yang ada hanyalah persekitaran yang menggalakkan kepada kemungkaran. Undang-undang sivil yang diamalkan menolak undang-undang islam yang telah digariskan jelas di dalam Al-quran. Di dalam Al-quran sendiri telah disebut mengenai hukum kepada pelaku zina yang jika diamalkan di negara ini, sudah pasti mampu menggerunkan remaja dan masyarakat.
Maka apa yang perlu dilakukan setelah kita mengetahui punca berlakunya pembuangan bayi ini kita perlu mencari langkah penyelesaian yang tuntas yang menuntut perubahan dan penglibatan dari setiap anggota masyarakat. Masalah pembuangan bayi bukanlah isu yang remeh. Jika hari ini membunuh satu jiwa tidak menjadi masalah untuk dilakukan oleh seorang remaja, bagaimanakah pula remaja-remaja yang berjiwa pembunuh ini akan membesar dan menjadi aset kepada negara?



Menuntut penyelesaian holistik
Dalam menangani masalah pembuangan bayi ini, pendekatan yang perlu diambil ialah pendekatan “inside out” iaitu dari dalam diri sehingga merubah persekitaran dan pendekatan holistik yang melibatkan seluruh anggota masayarakat dan pihak berwajib iaitu institusi negara. Persoalannya yang utama sekarang bukanlah untuk kita menuding jari kepada siapa yang paling bersalah di dalam hal ini tetapi adalah bagaimana permasalahan ini boleh kita tangani bersama sehingga ke tahap sifar atau minima sekurang-kurangnya.
1- Peranan Remaja
Dr  Faisal Tehrani seorang pensyarah dan penulis novel pernah mengupas isu ini dan mengatakan punca kepada permasalahan yang melibatkan remaja ialah kegagalan remaja meletakkan sikap. Meletakkan sikap disini bermakna menolak perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip dan pegangan hidup. Bagi meletakkan sikap ini, pemahaman terhadap agama perlu diperolehi oleh remaja. Pendekatan Sinergi Tahu, Mahu dan Mampu yang pernah disebut oleh penulis terkenal Pahrol Mohd juoi perlu diterapkan. Dalam konteks ini, akal yang diberikan oleh Allah perlu digunakan untuk mencari ilmu dan berfikir kerana dengan ilmu, manusia itu mengetahui apa yang dilarang dan disuruh agama. Maka 2 panduan utama iaitu Al-quran dan sunnah perlu dijadikan rujukan.
Remaja perlu membudayakan tadabbur Al-quran agar mereka faham tuntutan-tuntutan serta peringatan-peringatan di dalam Al-quran. Apabila akal tahu, hati akan mahu untuk bertindak mengikut landas islam. Apa yang perlu untuk mendidik hati pula ialah iman yang teguh terhadap tuhan.
6 rukun iman perlu diimani dan apabila manusia beriman maka mereka akan meyakini bahawa setiap perkara yang dilakukannya diperhatikan oleh Allah dan disaksikan malaikat serta setiap yang dilakukan akan diperhitungkan. Melalui iman inilah seorang individu mampu untuk bertindak mengikut lunas-lunas agama.Setiap manusia diberikan akal untuk berfikir
Selain daripada itu, remaja sendiri mestilah pandai menjaga diri masing-masing dengan memilih rakan-rakan yang baik sebagai kawan sepergaulan mereka. Mereka seharusnya memiliki idola remaja yang boleh diikuti sebagai pemangkin kepada kehidupan mereka yang yang bermotivasi yang berasaskan kepada contoh tauladan yang baik.
2-Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa perlu bertindak mengukuhkan institusi kekeluargaan dengan menekankan aspek didikan agama dalam diri anak-anak sejak mereka dari kecil lagi, seperti mengadakan solat berjemaah, mengaji bersama-sama, mengunjungi masjid dan menghadiri majlis ilmu serta menghadiri majlis kenduri sanak saudara atau jiran tetangga bagi mengeratkan ikatan persaudaraan sesama ahli keluarga. Aktiviti sebegini juga dapat membantu mengisi masa lapang anak-anak dengan perkara yang berfaedah dan dapat mengelak anak-anak daripada terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah dan pergaulan bebas. Didikan agama yang kukuh dan mantap serta teguh sejak dari kecil akan dapat membantu menghalang anak-anak daripada melakukan perkara yang tidak sihat apabila mereka dewasa kelak.
Ibu bapa adalah contoh tauladan kepada anak-anak dan berperanan untuk mendidik anak-anak dengan didikan Islam dan akhlak yang terpuji semenjak mereka kecil lagi. Penegasan terhadap budaya yang bertentangan perlu ditekankan agar kelak anak-anak akan dapat memilih cara hidup yang lebih sihat. Para ibu bapa yang tidak berkemampuan mesti memohon bantuan dan pertolongan dari pihak-pihak lain yang boleh membantu mereka dalam mendidik anak-anak. Aktiviti anak-anak serta keluar masuk mereka mestilah diperhatikan secara berpatutan sebelum nasi menjadi bubur.
3- Peranan Masyarakat Awam
Dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan yang tertentu. Masyarakat awam mesti bersikap sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita semua mesti berperanan untuk memperbaiki keadaan yang ada sekarang.
Dalam konteks yang lebih kecil,masyarakat awam juga melibatkan jiran tetangga maka, jiran turut berperanan penting bagi mengatasi masalah ini. Sikap “anak orang, anak kita” perlu ditanam dalam hati jiran tetangga supaya dapat menegur perbuatan remaja yang tidak baik di kawasan kejiranan atau pun membantu memaklumkan kepada ibu bapa tentang sesuatu perbuatan yang tidak sihat.
4- Peranan NGO
Dalam waktu yang sama, usaha menyedarkan masyarakat terutama golongan remaja, pelajar, belia dan pekerja kilang tentang ajaran Islam yang syumul hendaklah dilipatgandakan. Peranan ini adalah tanggungjawab bersama di antara pihak kerajaan, jabatan agama, masjid, NGO-NGO Islam, sekolah dan agensi-agensi Islam yang lain. Tanggungjawab berdakwah bukan sahaja diperintahkan kepada non-muslim sahaja, malah kepada masyarakat Islam sendiri. Masyarakat Islam adalah golongan yang lebih utama untuk para pendakwah menyampaikan Islam. Ini kerana mereka adalah golongan yang telah beragama Islam tetapi lemah kefahamannya terhadap Islam.
NGO memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani permasalahan ini. NGO boleh membantu remaja menghalatujukan kehidupan mereka agar lebih terarah dan terurus. Banyak NGO di Malaysia yang bergiat aktif bagi menangani permasalahan remaja Melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), ABIM, HALUAN, JIM, Yayasan Amal dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan program yang dianjurkan oleh NGO-NGO ini yang mengambil berat mengenai remaja seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk dari pihak kerajaan sendiri. Bantuan teknikal dan kewangan yang diperlukan oleh NGO yang menangani remaja seharusnya disalurkan kepada mereka secara yang optima.
5- Peranan Guru dan Sekolah
Guru-guru dan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan remaja. Fokus pendidikan tidak hanya terfokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Aktiviti-aktiviti dan program pelajar juga mestilah menjuruskan kepada pembinaan sahsiah yang terpuji dan pembinaan generasi muda yang cemerlang yang bakal menggantikan kepimpinan negara di masa akan datang. Pelajar-pelajar yang bermasalah mestilah dikenalpasti dengan lebih awal dan disalurkan kepada program pemulihan atau panambahbaikan secara sistematik.
Selain daripada itu, di sekolah unit bimbingan dan kaunseling perlu memainkan peranan dalam memberikan pendidikan kepada remaja. Kaunseling kelompok secara berkala perlu diberikan dan ceramah penghayatan hidup islam perlu diberikan. Perkataan “manusia” itu membawa makna lupa dan menjadi fitrah manusia untuk lupa. Maka melalui kaunseling kelompok dan ceramah inilah murid-murid dan guru itu sendiri sebenarnya boleh mengingatkan antara satu sama lain tentang penghayatan hidup islam agar kemungkaran seperti pembuangan bayi ini tidka berlaku.
Konsep usrah sepatutnya perlu dibudayakan di sekolah dengan meletakkannya di bawah unit bimbingan dan kaunseling. Usrah itu sendiri tidak banyak bezanya dengan kaunseling kelompok namun pendekatan usrah lebih menyeluruh dan boleh mencakupi banyak aspek kehidupan seperti keilmuan dan tarbiyah. Maka guru-guru perlu memainkan peranan menjalankan usrah ini di sekolah. Setiap murid perlu dididik agar dapat mendidik dan mengingatkan rakan-rakan yang lain. Selain daripada itu, aktiviti di dalam usrah dapat mengisi jiwa dan masa-masa murid yang terluang.
6- Peranan Kementerian Pelajaran
Usaha Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan  (GPPKRSK) dengan peruntukan RM20 juta bagi menangani masalah terbabit adalah amat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa sahaja. Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja di sekolah adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam bagi memastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu bapa dalam memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu keberkesanannya.
Kementerian juga berperanan dengan peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan remaja. Pekeliling perlu dikeluarkan kepada pihak sekolah untuk menjayakan kem-kem yang membudayakan cara hidup islam dan menolak zina.
7- Peranan Media
Peranan media massa, samada bercetak atau elektronik sebagai agen pembentukan keperibadian individu dan masyarakat juga tidak harus dikesampingkan. Kerosakan akhlak yang berlaku pada hari ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh media massa yang terlalu mempromosikan fahaman sekularisme, budaya hedonisme dan dorongan untuk hidup berfoya-foya. Justeru itu, para petugas media massa hendaklah memiliki akauntabiliti dan lebih tanggungjawab. Pada masa yang sama, para pengguna terutama ibu bapa hendaklah lebih bijaksana dalam memilih dan memantau siaran yang ditonton oleh anak-anak.
Media memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini. Remaja begitu terpengaruh dengan budaya barat dan apa yang ditunjukkan oleh para artis samada dari dalam atau dari luar negara. Sudah semestinya perlu ada pengawalan media terhadap semua filem luar mahupun tempatan agar tidak bersifat keterlaluan dalam usaha untuk menghiburkan masyarakat umum. Majalah dan penerbitan lucah mesti dihentikan seberapa segera oleh pihak berwajib agar tidak terus menyuburkan budaya yang negatif ini. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif kepada pihak media mestilah disegerakan.

8- Peranan Kerajaan
Permasalahan salah laku seksual remaja dan belia kini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Isu ini mestilah dibincangkan secara serius di peringkat parlimen tanpa memandang kepada mana-mana latar belakang parti politik. Ahli politik dan ahli parlimen mestilah mengenepikan pandangan peribadi dan kepartian bagi menangani isu nasional ini. Permasalahan remaja dan belia ini adalah agenda bersama yang mesti diperjuangkan oleh semua pihak.
Pelbagai kempen dan program kesedaran perlu terus dilaksanakan oleh kerajaan seperti  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat badan bukan kerajaan, anggota masyarakat, dan PDRM bagi membangkitkan kesedaran tentang kepentingan membanteras isu ini agar tidak terus merebak dan merosak generasi yang bakal menjadi pemimpin negara pada suatu masa kelak. Isu ini bukan lagi isu keluarga tetapi isu negara yang harus ditangani secara jujur dan bertanggungjawab bagi membantu negara mencapai hasrat negara yang bukan sahaja maju dari segi fizikalnya tetapi juga maju dan bertamadun dari segi akhlak dan nilai murni masyarakatnya.
Inisiatif Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini oleh  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta OphanCARE bagi menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius pada hari ini telah dijalankan.Bayi-bayi yang dipelihara sementara itu diserahkan kepada ibu bapa angkat mengikut agamanya. Walaubagaimanapun mencegah lebih baik dari mengubati.Usaha ini sangat baik dan dapat menangani isu pembuangan bayi namun bukan punca masalah iaitu zina.
Mengikut undang-undang sivil, Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali kepada pembuang bayi namun, kes pembuangan bayi terus berlaku. Selangor mencatatkan kes yang tertinggi dengan jumlah 127 kes, diikuti Johor, 104 kes; Sabah, 73 kes; Sarawak, 42 kes,dan Negeri Sembilan 30 kes.
Sudah sampai masanya pihak yang terlibat menyemak dan meminda semula peruntukan yang ada bagi membolehkan hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas pelaku yang melakukan perbuatan membuang bayi. Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun wujud akta bagi membendung perbuatan ini, berdasarkan jumlah kes yang semakin meningkat menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dalam perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini sedikit pun tidak berasa gentar atau takut. Kita bimbang perbuatan kejam membunuh bayi seperti yang berlaku pada zaman jahiliah seolah-olah menjadi “budaya” yang meresap masuk ke  dalam masyarakat pada hari ini.
Maka, kerajaan hendaklah mengenakan tindakan yang tegas kepada pasangan yang melakukan zina dan sanggup membuang bayi yang tidak berdosa. Hukuman sebat ke atas pasangan zina yang belum berkahwin  dan rejam kepada pasangan yang telah berkahwin seperti yang dianjurkan oleh syariat Islam adalah jawapan yang paling tegas bagi menangani isu yang tidak pernah berkesudahan ini.
Penutup : Menuntut penglibatan holistik
Remaja dan belia adalah agen perubahan. Remaja dan belia hari ini adalah pemimpin yang akan memimpin negara di masa akan datang. Permasalahan remaja hari ini yang semakin kritikal memerlukan usaha yang menyeluruh lagi bersepadu daripada semua pihak. Bukanlah masanya yang tepat untuk kita menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu bagi memikul beban dan tanggungjawab ini. Ini adalah isu nasional yang mesti ditangani oleh kita semua sebagai agenda bersama. Semua pihak perlu bahu – membahu dalam menyelesaikan permasalahan ini. Dalam apa isu sekalipun walaubagaima cara sekalipun kita mahu mengelak untuk bercakap tentang perkaitan masalah ini dengan agama kita sebenarnya perlu diam seketika dan berfikir, jauh sudah kita meninggalkan agama dalam mencari penyelesaian. Maka berbaliklah pada agama kerana dalamnya ada jawapan untuk penyakit-penyakit sosial masyarakat kita.

0 comments:

Post a Comment