Sekilas Pandang
Pertama
kali kita dipaparkan dengan gambar mayat bayi yang digonggong anjing, dihurung
semut. Apakah yang terlintas di benak kita? Marah? Geram? Kesal? Kasihan? Dan
apa pula pertanyaan-pertanyaan yang kita lontarkan ke dalam diri kita tentang
mengapa wujud manusia - manusia sekejam ini yang sanggup membunuh jiwa yang
tidak berdosa? Manusia-manusia ini baru anak remaja. Pernah kita fikir jika anak-anak
remaja ini anak-anak kita,jiran-jiran kita? Pernah kita persoal apa yang telah
kita sumbang dari kapasiti kita untuk mencegah perkara mungkar ini?
Kes
pembuangan bayi bukan lagi kes terpencil. Kes ini merupakan penyakit sosial
yang semakin berleluasa. Setiap hari di dada-dada akhbar, di laman sesawang
gambar-gambar,berita-berita pembuangan bayi dilaporkan, diperincikan dengan
harapan isu ini dipandang serius dan menimbulkan perbincangan-perbincangan yang
membawa kepada solusi dan bukannya polemik.
Penyakit
sosial ini kian mencalar imej negara sebagai sebuah negara islam namun gagal
membanteras isu yang sangat serius dan melanggar hak asasi seorang manusia yang
baru mahu bernyawa.Sedar tidak sedar isu ini menjadi cermin pada sebuah
institusi pemerintahan,undang-undang,agama, pendidikan dan keluarga yang rapuh nilai agama dan kemanusiaan kerana
sebuah kesatuan yang rapuh pegangan agama dan nilai kemanusiaanya tidak akan
memandang mudah pada nyawa seorang manusia.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh
Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 396 kes pembuangan bayi dicatatkan
sepanjang tahun 2005 hingga 2010. Pada 2005, sejumlah 67 kes pembuangan bayi
dilaporkan dan jumlah ini meningkat kepada 83 kes pada tahun 2006, dan
kemudiannya menurun kepada 65 kes pada 2007. Walau bagaimanapun, jumlah kes
meningkat kepada 102 pada tahun 2008, menurun semula pada 2009 kepada 79 kes
dan bertambah menjadi 91 kes pada 2010.
Trend peningkatan ini semakin
menjadi-jadi dan membimbangkan pelbagai pihak apabila pada bulan Januari 2011
sahaja, mencatatkan sejumlah 34 kes pembuangan bayi. Sudah tentu angka
ini amat menakutkan dan kita tidak dapat menjangkkan apakah angka yang akan
tercatat sepanjang tahun 2012 ini nanti. Dalam Persidangan Kependudukan
Kebangsaan 2007, kajian yang dilakukan di sekitar Lembah Klang
menunjukkan seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Laporan yang dikeluarkan
cukup mengejutkan dan menunjukkan nyawa seorang bayi tidak mempunyai nilai
lagi.
Membuang bayi itu sahaja sudah
menunjukkan betapa jauhnya kemanusian dari dalam diri, inikan pula melihat cara
mereka membuang bayi seperti yang dipaparkan dalam akhbar amat menakutkan pada
sesiapa sahaja yang melihatnya sehingga kita tidak percaya ada “manusia” yang
berhati binatang yang sanggup membunuh anak kecil yang tidak berdaya. Langkah
tidak berperikemanusian ini tambah mengerikan apabila bayi-bayi ini dibuang di
sungai, tong sampah, lubang najis, longkang dan sebagainya sehingga reput
dimakan ulat, serangga malah menjadi makanan anjing. Alangkah kejinya tindakan
yang dilakukan oleh manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab ini.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
sepanjang tahun 2004 hingga 2009, sejumlah 20.4 peratus sasaran utama tempat
pembuangan bayi ialah di kawasan rumah yang membabitkan sejumlah 99 bayi,
diikuti tempat pembuangan sampah yang membabitkan sejumlah 77 bayi atau 15.8
peratus dan bakinya ialah di semak, masjid, sungai, tepi jalan dan hospital.
Kes buang anak yang diketahui
masyarakat hanyalah berdasarkan laporan media, namun hakikatnya keadaan hari
ini adalah lebih teruk apabila kadar purata tersebut ditambah dengan kelahiran
anak tidak sah taraf yang tidak dilaporkan. Bilangan anak tidak sah taraf yang
dilaporkan oleh JPN antara tahun 2006 hingga 2010 adalah sebanyak 236,647 kes,
ini bererti setiap hari ada 160 kes anak tidak sah taraf dilahirkan di
Malaysia. Ini kes yang didaftarkan, tidak termasuk lagi dengan kes yang tidak
didaftarkan, juga sebahagian kes di mana bayi yang tidak diingini dibuang. Statistik
yang dikeluarkan oelh PDRM ini memperlihatkan masalah gejala sosial yang
dahsyat berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Masalah ini jika tidak
ditangani akan menyebabkan masalah ini menjadi lebih parah dan tidak boleh
diatasi lagi.
Isu ini menuntut satu
solusi, namun satu solusi memerlukan penelitian dan analisis punca kepada
permasalahan secara tuntas. Maka ada beberapa soalan yang perlu disoal dan
dijawab bagi menilai mengapa pembuangan bayi ini boleh berlaku.
Menganalisis
punca
Persoalannya
disini, mengapa gegala tidak bermoral ini boleh berlaku dan mengapa jenayah ini
dilakukan oleh remaja islam? Bagaimana dengan tidak berperikemanusiaanya, seorang
bayi boleh dibuang begitu sahaja? Bagi menjawab persoalan ini kita perlu
melihat apakah status bayi yang dibuang ini. Mengikut statistik yang dilakukan,
bayi-bayi ini merupakan bayi yang lahir hasil perhubungan luar nikah. Hal ini
bermakna bayi yang dibuang itu berstatus anak haram. Apabila menyebut anak
haram tentu sekali hal ini memberikan malu pada si pelaku untuk memiliki dan
menjaga bayi itu sebagaimana ibu-ibu yang melahirkan bayi atas pernikahan yang
sah. Malu dengan tanggapan sekeliling, takut tidak diterima keluarga dan juga
masyarakat.
Masalahnya disini mengapa perbuatan
pertama yang membawa kepada lahirnya bayi yang dibuang seperti sampah ini tidak
pula menimbulkan rasa malu dan berdosa? Perbuatan pertama itu ialah hubungan
seks luar nikah atau zina. Kebanyakan perbincangan ilmiah tidak menggunakan
perkataan zina dalam membincangkan isu ini sedangkan sebenarnya penggunaan
perkataan hubungan luar nikah itu menunjukkan “ringannya” perbuatan itu
sedangkan perkataan zina menunjukkan “beratnya” perbuatan itu kerana apabila
menyebut zina ia akan diikuti dengan amaran,peringatan dalam Al-quran tentang dosa
berzina dan bahayanya zina. Maka dalam perbincangan ini kita akan menggunakan
perkataan zina untuk merujuk pada punca masalah pembuangan bayi.
Setelah kita mengetahui punca kepada
pembuangan bayi ialah perbuatan zina, maka kita perlu melihat pula apakah
faktor-faktor yang membawa kepada zina ini kerana apabila kita cuba mencari
solusi bagi permasalahan, kita perlu melihat dari peringkat akarnya agar
penyelesaian yang akan kita ambil dapat dibuat secara holistik dan menyerang
segenap aspek yang menjadi punca kepada penyakit sosial ini.
Memang banyak pendapat dan kritikan
daripada pelbagai pihak yang diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat
liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal
tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga
yang goyah. Ada yang menyalahkan pihak sekolah yang gagal mengawal disiplin
pelajarnya dan ada yang mengkritik kementerian pendidikan yang gagal
memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja berkenaan. Ada yang menyalahkan
badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ramai yang mempertikaikan usaha ulama yang
terlalu sedikit bagi membendung masalah ini. Ada yang mengatakan gejala
pembuangan bayi adalah kesan akibat pembangunan pasca kemodenan. Pada era
globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut
mempengaruhi perlakuan seksual remaja. Ada yang mengatakan bahawa media adalah
punca bagi segala-galanya dan kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
kejadian yang semakin merebak ini.
Walaubagaimanapun dalam mencari
solusi, tuding menuding tidak seharusnya berlaku. Menghentam pihak-pihak
tertentu juga tidak sepatutnya berlaku kerana setiap yang berlaku itu bertitik
tolak pada sistem kawalan kendiri individu dan penghayatan cara hidup oleh diri
dan masyarakat. Apabila diri sendiri tidak terkawal dan persekitaran yang ada
tidak mencerminkan satu nilai yang baik untuk diteladani dan dijadikan panduan,
maka semua pihak sebenarnya bertanggungjawab dalam memberi saham kepada penyakit
sosial ini dan menjadi tanggungjawab setiap pihak mencari dan melaksanakan
langkah mencegah dan merawat penyakit ini dengan membuat perubahan dalam
tingkah laku. Berhenti dari bersifat apati dan menyerahkan permasalahan ini
hanya kepada pihak berwajib dan orang-orang agama.
Pertama sekali, kita perlu melihat
siapakah golongan pelaku ini dan apakah gaya hidup yang diamalkan mereka
sehingga membawa kepada penyakit sosial ini. Pelbagai faktor yang memungkinkan
dan mendorong kepada berleluasanya perbuatan zina ini. Secara puratanya pelaku
kepada gegala ini ialah remaja yang mempunyai banyak masa terluang dan
ruang-ruang ini diisi dengan hiburan yang dapat diperoleh dari media. Dalam
dunia sekarang yang disajikan dengan budaya hedonism, remaja merupakan golongan
yang paling mudah terpengaruh. Budaya hedonism inilah budaya yang telah disebut
oleh Rasulullah SAW sebagai satu penyakit yang akan melanda umat akhir zaman
iaitu penyakit cintakan keduniaan.
Pendedahan budaya hiburan melampau
yang ditonjolkan oleh media, kehidupan artis liar yang dipertontonkan,
majalah-majalah yang menjolok mata, filem-filem yang kian longgar tapisannya.
Di dalam Al-quran Allah telah menyatakan jangan menghampiri zina, maka apa
sahaja yang membawa kepada zina seperti perhubungan bebas antara lelaki dan
perempuan,tidak menjaga aurat, berdua-duaan, bercumbu dan sebagainya adalah
dilarang. Namun perkara yang paradoks berlaku di media. Sepatutnya media
menegaskan perkara ini di dalam filem, drama dan komersial.
Namun perkara sebaliknya berlaku.
Budaya hubungan bebas ini dipertonjolkan dengan hebatnya dan mendapat promosi
besar-besaran. Apa yang dipaparkan oleh media memberikan gambaran yang
bertentangan dengan ajaran islam. Hal ini remaja yang tidak boleh membezakan
halal dan haram menjadikan perkara ini ikutan dan mengamalkannya. Maka adalah
tidak menghairankan jika kita mendapati di sekolah rendah lagi sudah ada murid
yang bercinta, berpegangan tangan dan sebagainya. Budaya menghampiri kepada
zina yang akhirnya nanti akan membawa kepada zina,melahirkan bayi haram dan
pembuangan bayi.
Perhubungan antara lelaki dan wanita
di luar ikatan perkahwinan dengan tidak menuruti adab-adab Islam adalah antara
faktor penting yang mendorong kepada perbuatan seks luar nikah. Budaya
berdua-duaan seperti keluar menonton wayang bersama, berdua-duaan di taman,
keluar makan bersama yang bermula sejak di bangku sekolah lagi harus dipantau
oleh semua pihak dengan serius. Ibu bapa, guru-guru dan setiap ahli masyarakat
harus memainkan peranan dengan mendidik dan menasihati anak muda yang terbabit
sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Tidak dilupakan juga kemudahan dan
kecanggihan teknologi komunikasi hari ini yang memungkinkan capaian yang lebih
mudah terhadap internet. Kemudahan ini juga hadir dengan mudahnya akses kepada
bahan-bahan yang mengghairahkan seperti filem-filem dan gambar-gambar lucah
yang semakin berleluasa di internet. Pendedahan gambar-gambar yang terlalu
peribadi terutamanya wanita dalam laman sosial seperti Facebook, Friendster dan
sebagainya amat membimbangkan kerana mendatangkan ghairah kepada teman-teman
lelaki yang menontonnya. Teknologi yang canggih tanpa tapisan dan pengawalan
yang ketat oleh pihak berkuasa dan juga ibu bapa di rumah akan mendorong dan
merangsang lagi minat anak muda ke arah melakukan perbuatan zina yang akhirnya
akan membawa kepada perbuatan membuang dan membunuh bayi.
Namun jika kita menilai isu ini dari
sudut pandangan muslim dan bukannya hanya berdasarkan prinsip moral, kita akan
melihat bahawa isu ini merupakan isu ummah yang berpunca daripada gagalnya
individu dan masyarakat menjadikan islam sebagai addin. Dalam dunia yang serba
moden, agama dan kehidupan telah dipisahkan sehingga cara hidup islam tidak
lagi dipraktikkan oleh masyarakat. Agama hanya dipusatkan pada ritual sehingga
mengabaikan nilai yang sepatutnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Maka,
agama dan kehidupan akhirnya menjadi dua perkara yang berbeza.
Penekanan terhadap kehidupan yang
mengikut syariat tidak diterapkan dalam diri individu. Ibu bapa mengambil jalan
menghantar anak untuk belajar pendidikan islam secara formal namun praktikalnya
tidak diamalkan. Kegagalan ibu bapa untuk menerapkan nilai agama semenjak dari
kecil inilah menjadi antara punca apabila remaja membesar, mereka gagal untuk
meletakkan satu sikap menolak perkara yang haram di sisi agama. Media juga gagal
mendidik masyarakat untuk mengikut syariat sehingga apa yang dilakukan media
ialah mencampurkan antara yang hak yang batil. Pada hari Jumaat, rancangan
keilmuan dipaparkan dan baki hari yang lain disajikan dengan hiburan tanpa
batasan.
Apabila agama dipandang remeh, maka
hukum islam dan cara hidup islam turut dipandang remeh. Pelaksanaan dasar-dasar
kerajaan bertentangan pula dengan status negara sebagai sebuah negara islam.
Program-program kerajaan untuk masyarakat “diserikan” dengan konsert sehingga
ia sebenarnya memberikan gambaran dan budaya yang bertentangan dengan islam.
Bagaimanakah satu-satu isu ummah mahu diselesaikan jika semua pihak dan
persekitaran yang ada hanyalah persekitaran yang menggalakkan kepada
kemungkaran. Undang-undang sivil yang diamalkan menolak undang-undang islam
yang telah digariskan jelas di dalam Al-quran. Di dalam Al-quran sendiri telah
disebut mengenai hukum kepada pelaku zina yang jika diamalkan di negara ini, sudah
pasti mampu menggerunkan remaja dan masyarakat.
Maka apa yang perlu dilakukan setelah kita
mengetahui punca berlakunya pembuangan bayi ini kita perlu mencari langkah
penyelesaian yang tuntas yang menuntut perubahan dan penglibatan dari setiap
anggota masyarakat. Masalah pembuangan bayi bukanlah isu yang remeh. Jika hari
ini membunuh satu jiwa tidak menjadi masalah untuk dilakukan oleh seorang
remaja, bagaimanakah pula remaja-remaja yang berjiwa pembunuh ini akan membesar
dan menjadi aset kepada negara?
Menuntut penyelesaian
holistik
Dalam
menangani masalah pembuangan bayi ini, pendekatan yang perlu diambil ialah
pendekatan “inside out” iaitu dari dalam diri sehingga merubah persekitaran dan
pendekatan holistik yang melibatkan seluruh anggota masayarakat dan pihak
berwajib iaitu institusi negara. Persoalannya yang utama sekarang bukanlah
untuk kita menuding jari kepada siapa yang paling bersalah di dalam hal ini
tetapi adalah bagaimana permasalahan ini boleh kita tangani bersama sehingga ke
tahap sifar atau minima sekurang-kurangnya.
1- Peranan Remaja
Dr Faisal Tehrani seorang pensyarah dan penulis
novel pernah mengupas isu ini dan mengatakan punca kepada permasalahan yang
melibatkan remaja ialah kegagalan remaja meletakkan sikap. Meletakkan sikap
disini bermakna menolak perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip dan
pegangan hidup. Bagi meletakkan sikap ini, pemahaman terhadap agama perlu
diperolehi oleh remaja. Pendekatan Sinergi Tahu, Mahu dan Mampu yang pernah
disebut oleh penulis terkenal Pahrol Mohd juoi perlu diterapkan. Dalam konteks
ini, akal yang diberikan oleh Allah perlu digunakan untuk mencari ilmu dan
berfikir kerana dengan ilmu, manusia itu mengetahui apa yang dilarang dan disuruh
agama. Maka 2 panduan utama iaitu Al-quran dan sunnah perlu dijadikan rujukan.
Remaja perlu membudayakan tadabbur
Al-quran agar mereka faham tuntutan-tuntutan serta peringatan-peringatan di
dalam Al-quran. Apabila akal tahu, hati akan mahu untuk bertindak mengikut
landas islam. Apa yang perlu untuk mendidik hati pula ialah iman yang teguh
terhadap tuhan.
6 rukun iman perlu diimani dan apabila
manusia beriman maka mereka akan meyakini bahawa setiap perkara yang
dilakukannya diperhatikan oleh Allah dan disaksikan malaikat serta setiap yang
dilakukan akan diperhitungkan. Melalui iman inilah seorang individu mampu untuk
bertindak mengikut lunas-lunas agama.Setiap manusia diberikan akal untuk
berfikir
Selain daripada itu, remaja sendiri
mestilah pandai menjaga diri masing-masing dengan memilih rakan-rakan yang baik
sebagai kawan sepergaulan mereka. Mereka seharusnya memiliki idola remaja yang
boleh diikuti sebagai pemangkin kepada kehidupan mereka yang yang bermotivasi
yang berasaskan kepada contoh tauladan yang baik.
2-Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa perlu bertindak mengukuhkan
institusi kekeluargaan dengan menekankan aspek didikan agama dalam diri
anak-anak sejak mereka dari kecil lagi, seperti mengadakan solat berjemaah,
mengaji bersama-sama, mengunjungi masjid dan menghadiri majlis ilmu serta
menghadiri majlis kenduri sanak saudara atau jiran tetangga bagi mengeratkan
ikatan persaudaraan sesama ahli keluarga. Aktiviti sebegini juga dapat membantu
mengisi masa lapang anak-anak dengan perkara yang berfaedah dan dapat mengelak
anak-anak daripada terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah dan pergaulan
bebas. Didikan agama yang kukuh dan mantap serta teguh sejak dari kecil akan
dapat membantu menghalang anak-anak daripada melakukan perkara yang tidak sihat
apabila mereka dewasa kelak.
Ibu bapa adalah contoh tauladan kepada
anak-anak dan berperanan untuk mendidik anak-anak dengan didikan Islam dan
akhlak yang terpuji semenjak mereka kecil lagi. Penegasan terhadap budaya yang
bertentangan perlu ditekankan agar kelak anak-anak akan dapat memilih cara
hidup yang lebih sihat. Para ibu bapa yang tidak berkemampuan mesti memohon
bantuan dan pertolongan dari pihak-pihak lain yang boleh membantu mereka dalam
mendidik anak-anak. Aktiviti anak-anak serta keluar masuk mereka mestilah
diperhatikan secara berpatutan sebelum nasi menjadi bubur.
3- Peranan Masyarakat Awam
Dalam kehidupan sosial, Islam telah
menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita,
batasan aurat bagi lelaki dan wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah
pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan
akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang
memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka
perlu diatur oleh suatu aturan yang tertentu. Masyarakat awam mesti bersikap
sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita semua mesti
berperanan untuk memperbaiki keadaan yang ada sekarang.
Dalam konteks yang lebih
kecil,masyarakat awam juga melibatkan jiran tetangga maka, jiran turut
berperanan penting bagi mengatasi masalah ini. Sikap “anak orang, anak kita”
perlu ditanam dalam hati jiran tetangga supaya dapat menegur perbuatan remaja
yang tidak baik di kawasan kejiranan atau pun membantu memaklumkan kepada ibu
bapa tentang sesuatu perbuatan yang tidak sihat.
4- Peranan NGO
Dalam waktu yang sama, usaha
menyedarkan masyarakat terutama golongan remaja, pelajar, belia dan pekerja
kilang tentang ajaran Islam yang syumul hendaklah dilipatgandakan. Peranan ini
adalah tanggungjawab bersama di antara pihak kerajaan, jabatan agama, masjid,
NGO-NGO Islam, sekolah dan agensi-agensi Islam yang lain. Tanggungjawab
berdakwah bukan sahaja diperintahkan kepada non-muslim sahaja, malah kepada
masyarakat Islam sendiri. Masyarakat Islam adalah golongan yang lebih utama
untuk para pendakwah menyampaikan Islam. Ini kerana mereka adalah golongan yang
telah beragama Islam tetapi lemah kefahamannya terhadap Islam.
NGO memainkan peranan yang sangat
penting dalam menangani permasalahan ini. NGO boleh membantu remaja
menghalatujukan kehidupan mereka agar lebih terarah dan terurus. Banyak NGO di
Malaysia yang bergiat aktif bagi menangani permasalahan remaja Melayu seperti
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA),
ABIM, HALUAN, JIM, Yayasan Amal dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan program
yang dianjurkan oleh NGO-NGO ini yang mengambil berat mengenai remaja
seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk dari pihak kerajaan sendiri.
Bantuan teknikal dan kewangan yang diperlukan oleh NGO yang menangani remaja
seharusnya disalurkan kepada mereka secara yang optima.
5- Peranan Guru dan Sekolah
Guru-guru dan sekolah memainkan
peranan yang sangat penting dalam pendidikan remaja. Fokus pendidikan tidak
hanya terfokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Aktiviti-aktiviti dan
program pelajar juga mestilah menjuruskan kepada pembinaan sahsiah yang terpuji
dan pembinaan generasi muda yang cemerlang yang bakal menggantikan kepimpinan
negara di masa akan datang. Pelajar-pelajar yang bermasalah mestilah dikenalpasti
dengan lebih awal dan disalurkan kepada program pemulihan atau panambahbaikan
secara sistematik.
Selain daripada itu, di sekolah unit
bimbingan dan kaunseling perlu memainkan peranan dalam memberikan pendidikan
kepada remaja. Kaunseling kelompok secara berkala perlu diberikan dan ceramah
penghayatan hidup islam perlu diberikan. Perkataan “manusia” itu membawa makna
lupa dan menjadi fitrah manusia untuk lupa. Maka melalui kaunseling kelompok
dan ceramah inilah murid-murid dan guru itu sendiri sebenarnya boleh mengingatkan
antara satu sama lain tentang penghayatan hidup islam agar kemungkaran seperti
pembuangan bayi ini tidka berlaku.
Konsep usrah sepatutnya perlu
dibudayakan di sekolah dengan meletakkannya di bawah unit bimbingan dan
kaunseling. Usrah itu sendiri tidak banyak bezanya dengan kaunseling kelompok
namun pendekatan usrah lebih menyeluruh dan boleh mencakupi banyak aspek
kehidupan seperti keilmuan dan tarbiyah. Maka guru-guru perlu memainkan peranan
menjalankan usrah ini di sekolah. Setiap murid perlu dididik agar dapat
mendidik dan mengingatkan rakan-rakan yang lain. Selain daripada itu, aktiviti
di dalam usrah dapat mengisi jiwa dan masa-masa murid yang terluang.
6- Peranan Kementerian Pelajaran
Usaha Kementerian Pelajaran bersama
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka
dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial
Kebangsaan (GPPKRSK) dengan peruntukan RM20 juta bagi menangani masalah
terbabit adalah amat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil
yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa
sahaja. Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja di sekolah
adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam
bagi memastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu
bapa dalam memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu
keberkesanannya.
Kementerian juga berperanan dengan
peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan
kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam
pembentukan sahsiah dan kepimpinan remaja. Pekeliling perlu dikeluarkan kepada
pihak sekolah untuk menjayakan kem-kem yang membudayakan cara hidup islam dan
menolak zina.
7- Peranan Media
Peranan media massa, samada bercetak
atau elektronik sebagai agen pembentukan keperibadian individu dan masyarakat
juga tidak harus dikesampingkan. Kerosakan akhlak yang berlaku pada hari ini
sebenarnya banyak dipengaruhi oleh media massa yang terlalu mempromosikan
fahaman sekularisme, budaya hedonisme dan dorongan untuk hidup berfoya-foya.
Justeru itu, para petugas media massa hendaklah memiliki akauntabiliti dan
lebih tanggungjawab. Pada masa yang sama, para pengguna terutama ibu bapa
hendaklah lebih bijaksana dalam memilih dan memantau siaran yang ditonton oleh
anak-anak.
Media memainkan peranan yang sangat
penting terhadap apa yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini. Remaja
begitu terpengaruh dengan budaya barat dan apa yang ditunjukkan oleh para artis
samada dari dalam atau dari luar negara. Sudah semestinya perlu ada pengawalan
media terhadap semua filem luar mahupun tempatan agar tidak bersifat
keterlaluan dalam usaha untuk menghiburkan masyarakat umum. Majalah dan
penerbitan lucah mesti dihentikan seberapa segera oleh pihak berwajib agar
tidak terus menyuburkan budaya yang negatif ini. Sebelum nasi menjadi bubur,
langkah-langkah proaktif kepada pihak media mestilah disegerakan.
8- Peranan Kerajaan
Permasalahan salah laku seksual remaja
dan belia kini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Isu ini mestilah
dibincangkan secara serius di peringkat parlimen tanpa memandang kepada
mana-mana latar belakang parti politik. Ahli politik dan ahli parlimen mestilah
mengenepikan pandangan peribadi dan kepartian bagi menangani isu nasional ini.
Permasalahan remaja dan belia ini adalah agenda bersama yang mesti
diperjuangkan oleh semua pihak.
Pelbagai kempen dan program kesedaran
perlu terus dilaksanakan oleh kerajaan seperti Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat badan bukan kerajaan, anggota masyarakat, dan
PDRM bagi membangkitkan kesedaran tentang kepentingan membanteras isu ini agar
tidak terus merebak dan merosak generasi yang bakal menjadi pemimpin negara
pada suatu masa kelak. Isu ini bukan lagi isu keluarga tetapi isu negara yang
harus ditangani secara jujur dan bertanggungjawab bagi membantu negara mencapai
hasrat negara yang bukan sahaja maju dari segi fizikalnya tetapi juga maju dan
bertamadun dari segi akhlak dan nilai murni masyarakatnya.
Inisiatif Baby Hatch atau Pusat Jagaan
Bayi Tidak Diingini oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM) serta OphanCARE bagi menangani gejala pembuangan bayi yang
semakin serius pada hari ini telah dijalankan.Bayi-bayi yang dipelihara
sementara itu diserahkan kepada ibu bapa angkat mengikut agamanya. Walaubagaimanapun
mencegah lebih baik dari mengubati.Usaha ini sangat baik dan dapat menangani
isu pembuangan bayi namun bukan punca masalah iaitu zina.
Mengikut undang-undang sivil, Akta
Kanak-kanak 2001 memperuntukkan denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara
tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali kepada pembuang bayi namun, kes
pembuangan bayi terus berlaku. Selangor mencatatkan kes yang tertinggi dengan
jumlah 127 kes, diikuti Johor, 104 kes; Sabah, 73 kes; Sarawak, 42 kes,dan
Negeri Sembilan 30 kes.
Sudah sampai masanya pihak yang
terlibat menyemak dan meminda semula peruntukan yang ada bagi membolehkan
hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas pelaku yang melakukan perbuatan
membuang bayi. Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun wujud akta bagi membendung
perbuatan ini, berdasarkan jumlah kes yang semakin meningkat menunjukkan bahawa
mereka yang terlibat dalam perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini sedikit
pun tidak berasa gentar atau takut. Kita bimbang perbuatan kejam membunuh bayi
seperti yang berlaku pada zaman jahiliah seolah-olah menjadi “budaya” yang
meresap masuk ke dalam masyarakat pada hari ini.
Maka, kerajaan hendaklah mengenakan
tindakan yang tegas kepada pasangan yang melakukan zina dan sanggup membuang
bayi yang tidak berdosa. Hukuman sebat ke atas pasangan zina yang belum
berkahwin dan rejam kepada pasangan yang telah berkahwin seperti yang
dianjurkan oleh syariat Islam adalah jawapan yang paling tegas bagi menangani
isu yang tidak pernah berkesudahan ini.
Penutup : Menuntut penglibatan
holistik
Remaja dan belia adalah agen
perubahan. Remaja dan belia hari ini adalah pemimpin yang akan memimpin negara
di masa akan datang. Permasalahan remaja hari ini yang semakin kritikal
memerlukan usaha yang menyeluruh lagi bersepadu daripada semua pihak. Bukanlah
masanya yang tepat untuk kita menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu
bagi memikul beban dan tanggungjawab ini. Ini adalah isu nasional yang mesti
ditangani oleh kita semua sebagai agenda bersama. Semua pihak perlu bahu –
membahu dalam menyelesaikan permasalahan ini. Dalam apa isu sekalipun
walaubagaima cara sekalipun kita mahu mengelak untuk bercakap tentang perkaitan
masalah ini dengan agama kita sebenarnya perlu diam seketika dan berfikir, jauh
sudah kita meninggalkan agama dalam mencari penyelesaian. Maka berbaliklah pada
agama kerana dalamnya ada jawapan untuk penyakit-penyakit sosial masyarakat
kita.
0 comments:
Post a Comment